.::aLawee::.

enGkau..dan juga aKu... daLam satu diLema...anTara keeGoan daLam memaHami erti PeRsahabatan..........

18:54

Muzik

Posted by alawee


TOLERANSI ISLAM TERHADAP NYANYIAN DAN MUZIK: SATU PENILAIAN

INTRO
Senario serta realiti masyarakat masa kini jelas menunjukkan bahawa nyanyian dan muzik telah menjadi sebati di dalam kehidupan manusia. Seni nyanyian dan muzik telah mendapat tempat di hati masyarakat termasuk umat Islam di seluruh dunia sehingga timbulnya persoalan yang menjadi tanda tanya dan perselisihan terhadap hokum nyanyian dan muzik menurut Islam. Sesetengah pihak membuka telinga mereka dan memberikan ruang yang seluas-luasnya terhadap sebarang jenis muzik dan nyanyian tanpa sekatan sehingga seakan-akan terpengaruh dengan budaya hedonisme yang telah dikempen dan dipropagandakan barat.

Bagi sebahagian yang lain pula, mereka begiru berhati-hati terhadap persoalan ini sehinggakan mereka menutup pendengaran mereka dari mendengar sebarang genre muzik dan aliran nyanyian dengan berhujjahkan bahawa setiap muzik dan nyanyian adalah haram di sisi Islam. Maka di sinilah wujudnya satu polemik dan persoalan yang tidak berkesudahan terhadap status nyanyian dan muzik menurut kacamata Islam.

Walaupun begitu, terdapat kesepakatan para ulamak terhadap pengharaman sebarang jenis muzik yang mengandungi unsure-unsur maksiat dan derhaka terhadap Allah SWT seperti lagu-lagu yang menyeru kepada maksiat, lucah, kekufuran, dan mengundang seribu satu keburukan yang jelas status haramnya di dalam Islam.

Terdapat juga sebahagian yang telah disepakati oleh ulamak akan keharusannya seperti nyanyian seorang isteri terhadap suaminya, hamba wanita kepada tuannya, nyanyian bagi melahirkan rasa syukur dan kegembiraan misalnya di dalam majlis perkahwinan, hari raya dan sebagainya.

Di antara dua status ini (haram dan halal), wujud perselisihan dan perbezaan pandangan ulamak. Apa yang pentung daripada perbincangan adalah, kita dapat melihat kepada pandangan yang bersifat menyeluruh sehingga jelas kepada kita perbezaan antara nyanyian dan muzik yang haram dan yang halal sehingga kita mampu memahami hakikat Islam dengan basiroh dan kefahaman seperti acuan yang diinginkan oleh Allah SWT.

Para ulamak usul telah meletakkan satu kaedah yang jelas untuk memberikan jawapan kepada status asal bagi setiap perkara dengan satu kaedah “ hukum asal bagi setiap sesuatu adalah harus”. Setiap perkara akan terus kekal berada di dalam status mubah (harus/dibenarkan) sehinggalah datangnya dalih yang saheh (benar) dan sorih (jelas) dari nas Al-Quran atau As-Sunnah atau Ijmak terhadap haramnya sesuatu perkara. Oleh yang demikian, eloklah kita melihat beberapa dalil yang menjadi sandaran hujjah bagi golongan ulamak yang mengharamkan nyanyian dan muzik.

DALIL-DALIL GOLONGAN YANG MENGHARAMKAN NYANYIAN DAN MUZIK SERTA PERBINCANGANNYA

Penulis tidak bermaksud untuk mengundang kepada huraian dan perbincangan panjang yang menyebabkan para pembaca lari dari maksud asal penulisan ini. Cukup sekadar penulis menyebut beberapa dalil yang menjadi sandaran hujjah golongan ulamak yang berijtihad dan lebih cenderung untuk mengharamkan nyanyian dan muzik. Antara dalil yang menjadi sandaran hujjah terhadap pengharaman nyanyian dan muzik adalah seperti berikut:


1. Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 6, maksudnya:

”Dan ada di antara manusia yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara hiburan yang melalaikan; yang menyesatkan(dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejek; merekalah orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.”

Sebahagian ulamak yang mentafsirkan bahawa ayat ini ditujukan kepada nyanyian.

PERBINCANGAN TERHADAP DALIL INI.

Imam Ibn Hazmi berpendapat bahawa tiada hujah daripada dalil ini untuk menyabitkan pengharaman nyanyian dan muzik dengan beberapa hujjah:

* Tidak ada hujjah dan isyarah dari Rasulullah SAW terhadap dalil ini yang menunjukkan pengharaman nyanyian

* Para sahabat dan tabi’in telah berselisih pendapat terhadap penghujahan dalil ini sebagai pengharaman nyanyian

* Nas ayat ini menunjukkan mereka yang menjadikan agama Allah sebagai ejekan dan mainan adalah kafir. Hujjah ini membatalkan dakwaan pengharaman nyanyian kerana adalah tidak tepat dan teliti untuk melabelkan golongan yang menyanyi sebagai kafir

2. Firman Allah SWT ketika memuji golongan mukmin di dalam Surah Al-Qasas ayat 55, maksudnya:

”Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya sambil berkata: ”Bagi kami amalan kami, bagi kamu amalan kamu;selamat tinggal kepada kamu; kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang jahil”.”

PERBINCANGAN TERHADAP DALIL

Perkataan lagho di dalam ayat tersebut bermaksud sia-sia. Seperti perkataan batil yang bermaksud tidak memberikan faedah dan manfaat daripadanya. Maka hukum mendengar sesuatu yang lagho atau tidak memberikan faedah tidaklah merubah statusnya daripada harus kepada haram.

3. Sebuah hadith yang berbunyi maksudnya:

”Nyanyian itu menimbulkan sifat nifaq di dalam hati”



PERBINCANGAN TERHADAP DALIL


Hadith ini tidak thabit daripada Baginda Rasulullah SAW tetapi disandarkan kepada sahabat atau tabi’in. Dikatakan hadith ini merupakan kata-kata Ibn Mas’ud RA.

Oleh yang demikian, hadith ini tidak membawa kepada sandaran hujjah untuk mengharamkan nyanyian. Imam Al-Ghazali pula berpendapat bahawa hadith ini ditujukan kepada penyanyi bukan kepada pendengarnya.

Kesimpulan daripada dalil-dalil pengharaman nyanyian dan muzik adalah samada bersifat sahih tetapi tidak sorih (jelas) ataupun sorih tetapi tidak sahih.

Telah berkata Kadhi Abu Bakar Ibn Al-’Arabi di dalam kitab Al-Ahkam bahawa tidak sahih pengharaman nyanyian daripada dalil-dalil tersebut. Begitu juga pendapat Imam Al-Ghazali dan Ibn Nahwi di dalam kitab Al-Umdah. Terdapat juga beberapa ulamak lain yang bersama-sama di dalam pendapat ini antaranya Ibn Tohir di dalam kitabnya As-Sima’ dan begitu juga Imam Ibn Hazmi.

DALIL-DALIL GOLONGAN YANG MENGHARUSKAN NYANYIAN

Setelah kita melihat beberapa dalil pengharaman nyanyian serta pandangan ulamak yang tidak menerima dalil tersebut, maka beradalah hukum nyanyian dan muzik ini di dalam keadaan asalnya iaitu harus. Walaupun begitu, marilah kita melihat kepada beberapa dalil yang menjdai hujjah keharusan nyanyian dan muzik. Penulis sekadar mendatangkan beberapa dalil sahaja di dalam penulisan ini.


1. Aspek nas syarak :
A) Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Jumuah ayat 11 yang bermaksud :

”Dan apabila mereka melihat perniagaan dan hiburan, mereka meluru ke arahnya dan meninggalkan kamu berdiri (ketika berkhutbah), katakanlah apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik daripada hiburan dan perniagaan. Dan Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki”

PERBINCANGAN TERHADAP DALIL

Allah SWT telah menggandingkan perkataan hiburan dan perniagaan di dalam ayat ini. Apakah semua perniagaan adalah haram? Atau hanya perniagaan yang memiliki unsur-unsur riba, penipuan, maksiat dan sebagainya sahaja yang dikategorikan sebagai haram. Begitulah juga halnya dengan hiburan. Hiburan dan perniagaan yang dilarang di dalam ayat ini adalah hiburan dan perniagaan yang melalaikan diri dari mengingati Allah dan menjauhkan dari perintah Allah.

B) Hadith riwayat Imam Bukhari berkisar pertanyaan Rasulullah kepada Aisyah RA mengenai hiburan ketika di hari perkahwinan. Maksudnya:

”Daripada Aisyah sesungguhnya beliau telah mengiringi pengantin perempuan untuk dihantarkan kepada suaminya daripada golongan ansar; maka sabda Baginda Nabi SAW: Wahai Aisyah, adakah bersama kamu sebarang hiburan? Sesungguhnya orang ansar menyukai hiburan.”

2. Aspek ruh Islam dan kaedah-kaedahnya :
A) Nyanyian adalah salah satu daripada keseronokan, kelazatan dan nikmat dunia yang dirasai oleh perasaan dan jiwa manusia. Ia juga menenangkan fikiran, dan sejajar dengan fitrah kejadian manusia. Adalah tidak menjadi kesalahan dan dosa bagi manusia untuk mengecapi kelazatan dan nikmat dunia selagi mana mereka mengikut landasan syarak.

B) Fitrah kejadian manusia juga adalah cenderung kepada mendengar bunyi-bunyi, nyanyian, dan suara yang merdu sehinggakan kita melihat anak-anak kecil akan berhenti menangis apabila didodoikan dengan nyanyian suara yang merdu. Apatah lagi jika manusia dialunkan dengan alunan zikir kepada Allah. Manusia juga akan merai ketenangan apabila terdengar bunyi kicauan burung yang merdu dan desiran ombak di pantai.


BEBERAPA ULAMAK YANG MENGHARUSKAN NYANYIAN DAN MUZIK


Setelah kita dibentangkan dengan beberapa dalil yang mengharuskan nyanyian, adalah lebih baik untuk kita melihat beberapa tokoh ulamak dan sarjana Islam yang mengharuskan muzik dan nyanyian.

Telah berkata Imam Asy-Syaukani di dalam kitabnya Nailul Authar, “Telah berpandangan ahlul madinah dan mereka yang sependapat dengan mereka dari golongan ulamak Zhohir, dan golongan sufiyyah untuk memberikan rukhsah (kelonggaran) bagi mengharuskan nyanyian walaupun dengan kecapi (alat muzik bertali) dan seruling (alat muzik yang ditiup).”

Begitu juga pandangan Imam Ibn Tohir dan Imam Al-Mawardi yang meriwayatkan tentang keharusan alat muzik yang bertali. Ulamak kontemporari terkenal yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Ulamak Islam Sedunia, Prof. Dr. Yusof Al-Qaradawi juga berpendapat bahawa tiada satu pun alat muzik yang diharamkan oleh syarak di dalam kitabnya Al-Islam wal Fan (Islam dan seni) ,kitab Fiqh Muziqi (Fekah Muzik) dan kitab Fiqh Lahwi wal Tarwih

ETIKA YANG PERLU DIPENUHI BERKAITAN NYANYIAN DAN MUZIK

Walaupun Islam bersikap toleransi terhadap muzik dan nyanyian, namun terdapat beberapa syarat yang harus dipatuhi oleh mereka yang ingin mendendangkan muzik atau ingin mendengarnya. Antara beberapa perkara yang harus diberikan perhatian:

* Isi Kandungan nyanyian hendaklah bertepatan dengan adab dan didikan Islam. Bait-bait lagu yang dan senikata yang tidak sejajar dengan nilai-nilai dan ajaran Islam adalah diharamkan

* Cara dan kaedah penyampaian nyanyian hendaklah selari dengan tuntutan Islam. Nyanyian dengan niat untuk menimbulkan syahwat dengan tarian-tarian yanng meruntuhkan akhlak para pendengar akan menyebabkan ianya menjadi haram.

* Nyanyian dan muzik hendaklah tidak bercampur dengan unsur-unsur yang haram seperti meminum arak, tabarruj (melampau di dalam berhias/tidak menutup aurat), ikhtilat (bercampur antara lelaki dan perempuan tanpa batas) adalah diharamkan.

* Mengelak daripada berlaku berlebih-lebihan di dalam berhibur. Janganlah sehingga ianya melalaikan daripada melakukan ibadah atau perkara-perkara yang yang berfaedah di dalam kehidupan.

* Mengukur kemampuan dan keadaan diri apabila mendengar muzik dan nyanyian. Apabila nyanyian dan muzik mampu meransang hawa nafsunya, menjauhkan dia dari mengingati Allah atau membawa kepada maksiat maka hendaklah sesorang menjauhkan diri daripada hiburan dan nyanyian tersebut.


FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN ULAMAK YANG BERKERAS TERHADAP NYANYIAN DAN MUZIK


A) Sesetengah ulamak bersikap berhati-hati daripada bermudah-mudah di dalam masalah ini. Tujuan mereka adalah untuk menjaga daripada timbulnya masalah yang lebih besar daripada muzik dan nyanyian.

B) Terdapat sebahagian daripada mereka bersandar dengan hadith-hadith palsu dan yang direka-reka.

C) Kebanyakan mereka tertekan dan terkesan dengan realiti seni dan nyanian yang begitu mungkar dan maksiat.


KONKLUSI


Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat kita mengambil manfaat demi kebaikan bersama. Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk mengharuskan sebarang bentuk muzik dan nyanyian, tetapi ianya adalah untuk membawa sidang pembaca sekalian untuk membuat penilaian terhadap hukum muzik dan nyanyian itu sendiri.


Salam penuh hormat,
MOHD NAZIM BIN MOHD NOOR

Kuliyyah Usuluddin (Jabatan Dakwah dan Pengajian Islam)

Universiti Al-Azhar Asy-Syarif, Kaherah, Mesir.




Image Hosted by ImageShack.us

0 comments: